Saturday 29 October 2011

KL Gangster Pegang Rekod 16 Tahun

KUALA LUMPUR – Mungkin ramai yang tidak sedar, tetapi filem KL Gangster arahan pengarah muda, Syamsul Yusof memiliki sejarah tersendiri apabila ia menjadi filem tempatan yang mendapat kutipan tertinggi sejak tahun 1995 hingga Oktober 2011.

Ini secara tidak langsung menjadikan Kl Gangster sebagai filem Melayu dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman dengan jumlah RM11.74 juta.


Merujuk kepada senarai rekod ‘Filem Cereka Top 20’ yang ditunjukkan di laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), tiada filem tempatan yang mampu menandingi jumlah kutipan tertinggi filem itu sejak tahun 1995 sehingga kini.

Filem yang diterbitkan pada tahun ini oleh SKOP Production dibintangi gandingan mantap tiga ‘hero pujaan Malaya’ Aaron Aziz, Adi Putra dan Syamsul sendiri, begitu menggegar panggung dan menjadi satu fenomena transformasi industri hiburan ke arah yang lebih bermutu.

Dalam filem tersebut, Syamsul membawa watak antagonis iaitu gangster bergelar Shark, Aaron watak gangster yang sudah insaf, Malik dan baru keluar penjara, serta Adi yang bawa watak gangster, Jai yang juga adik kepada Malik.

Filem komedi seram yang ditayangkan pada Ogos lalu, Hantu Bonceng, pada awalnya mencetus kontroversi dialog yang didakwa menghina Islam, berjaya menarik peminat filem tempatan untuk berada di tempat kedua dengan meraih kutipan sebanyak RM8.53 juta.

Filem lakonan Zizan Razak dan diarahkan oleh Ahmad Idham itu mengisahkan seorang mat rempit yang insaf setelah diganggu oleh roh seorang gadis yang dimenanginya di dalam satu perlumbaan.

Tempat ketiga carta FINAS itu juga diisi oleh filem bergenre komedi seram, Ngangkung (2010), dengan jumlah kutipan sebanyak RM8.18 juta dan filem Kongsi (2011) ditempat yang keempat dengan jumlah kutipan sebanyak RM8.09 juta.

Filem seram, Khurafat (2011) pula berada di tempat kelima dengan mencatat kutipan berjumlah RM8.08 juta dan filem arahan pengarah terkenal Mamat Khalid, Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), yang mencetus fenomena unik pula berjaya mengutip sebanyak RM7.9 juta untuk berada ditempat keenam.

Tempat ketujuh pula disandang oleh filem Adnan Sempit (RM7.66 juta – 2011) dan diikuti ditempat kelapan Hikayat Merong Mahawangsa (RM6.5 juta – 2011), Lagi-Lagi Senario (RM6.33 juta – 2001) dan yang Upin & Ipin: Pengembaraan Bermula (RM6.2 juta – 2009).

Ia diikuti oleh filem Sembilu 2 (RM6.1 juta – 1995), Jangan Pandang Belakang Congkak (RM6.09 juta – 2009), Jangan Pandang Belakang (RM5.78 juta – 2007), KL Drift 2 (RM5.67 – 2010) dan Cicakman (RM5.15 juta – 2006).

Senarai FINAS itu mula direkodkan pada tahun 1999 dan menyenaraikan hasil jumlah kutipan jualan tiket filem-filem tempatan yang didaftarkan di FINAS sebagai filem ‘wajib tayang’ di pawagam-pawagam tempatan di seluruh negara.


Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...