KENANGAN...Fara tetap kenang jasa Julfekar.
“SYUKUR Alhamdulillah, akhirnya kebenaran itu berpihak padaku. Akhirnya dia memohon maaf di atas kesilapannya selama ini terhadapku”.
Itulah status yang ditulis komposer sensasi, Julfekar Ahmad Shah di laman facebooknya, baru-baru ini hingga menimbulkan persoalan apakah kemelut antara dia dengan penyanyi Farawahida Razali, 26, sudah berakhir?
Bagaimanapun apabila diminta komen penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu, Fara enggan mengulas lanjut.
Katanya, dia ada alasan kukuh untuk berbuat demikian. Alasannya mudah saja, tidak mahu mengimbas semula cerita lama.
“Apa yang saya boleh katakan, memang kami sudah berbaik semula baru-baru ini.
Sebenarnya, saya memang tidak pernah berdendam dengannya dari dulu lagi kerana saya tetap kenang jasanya menaikkan nama saya dalam bidang hiburan dulu.
“Saya sudah memaafkan�nya sebagai saudara sesama Islam dan kami juga yang putuskan untuk sama-sama bermaafan ketika itu.
“Walaupun sudah berbaik, saya tidak mahu lagi ada kaitan dengannya termasuk bekerjasama dalam album pada masa akan datang. Saya percaya lebih baik begitu saja demi menjaga nama baik keluarga,” katanya ketika dihubungi.
Fara mengakui telefon bimbitnya tidak berhenti berdering dihubungi pihak media apabila keluar kenyataan Julfekar di akhbar mengatakan mereka sudah berbaik semula.
Difahamkan, Julfekar menarik semula saman terhadap Farawahida yang difailkan tiga tahun lalu apabila mahkamah mengeluarkan perintah supaya membuat permohonan maaf berhubung isu yang timbul. Fara memohon maaf sebagaimana diperintahkan di hadapan hakim mahkamah, Datuk �Nor Bee Ariffin pada 21 September lalu.
Apapun, Fara berharap cerita kontroversi yang pernah melanda hidupnya sebelum ini tidak diungkit lagi kerana ia sudah pun menjadi sejarah.
Walaupun ia pahit untuk ditelan, Fara percaya ada hikmah di sebalik semua keperitan itu.
Kata Fara, apa yang berlaku mematangkan dirinya dan kini sudah mula belajar berdikari yang sebelum ini tidak pernah terfikir olehnya.
“Saya sendiri tidak percaya dengan pencapaian diri selepas hidup berdikari sejak tahun lalu. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang sudah tertulis dalam hidup.
“Malah, saya bangga dengan apa yang dikecapi sekarang. Banyak perkara yang saya belajar sejak mula berdikari menguruskan karier seni.
“Contohnya, saya buat semua perkara dari A hingga Z dan ia pengalaman baru dalam hidup. Ia juga memberi kepuasan yang lebih pada diri sendiri.
“Kalau dulu saya bergantung pada orang lain untuk membawa saya memenuhi undangan persembahan, tapi kini saya sudah ada lesen memandu sendiri. Saya juga sudah memiliki kereta sendiri sehari sebelum Aidilfitri lalu.
“Ia juga duit dari titik peluh melalui undangan persembahan yang tidak putus diterima setiap bulan. Mungkin orang tidak percaya, saya tidak pernah minta duit sesen pun dari ibu bapa atau hutang duit dengan orang, sejak berkecimpung dalam bidang seni, hampir tujuh tahun lalu.
“Sayalah juga yang membantu keluarga untuk mempunyai rumah lebih selesa di Taiping, Perak. Bapa juga hanya menjadi penjamin bila saya membeli kereta tahun ini,” katanya .
Buat masa ini, Fara juga tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman tiada masalah bekerjasama dengan komposer lain.
Fara ingin mengubah persepsi orang yang selama ini menganggap hanya boleh bekerja dengan Julfekar saja.
“Terbaru, saya bekerjasama dengan Manusia Putih untuk single terbaru, Jangan Tanya Aku Lagi, selepas dua tahun tidak ada lagu baru. Single ini juga menjadi lagu tema untuk drama bersiri Mata Ayer menerusi slot Legenda di TV3.
“Saya juga bekerjasama dengan komposer baru, Tot untuk lagu raya berjudul Hayati Raya Sejati yang dihasilkan hampir tujuh tahun dalam bidang nyanyian.
“Saya juga ada terfikir membuka syarikat sendiri untuk menguruskan karier seni
tapi semua masih dalam perancangan,” katanya.
Fara menafikan lagu Jangan Tanya Aku Lagi menceritakan kisah silamnya dan menegaskan lagu ditulis Manusia Putih itu tidak ada kaitan dengan dirinya.
“Tapi saya akui sukakan judul lagu itu malah lagu dan liriknya memang mencipta khas buat saya. Selama ini, orang tanya bila saya nak keluar lagu baru, kini jawapan saya mudah saja, Jangan Tanya Aku Lagi. Lebih bermakna, single ini dihasilkan dengan duit sendiri dan bukan ditaja mana-mana pihak.
“Proses pembikinan single ini juga membabitkan tempoh empat bulan dan saya puas hati dengan hasilnya. Alhamdulillah, single ini mendapat sambutan baik dari peminat sejak mula diputarkan di radio tempatan, dua bulan lalu. Menyusul selepas ini adalah single kedua,” katanya.
Mengenai hubungannya dengan bakal doktor muda yang hangat diperkatakan itu, Fara enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menghebohkan kisah cintanya.
Katanya, dia masih dalam fasa mengenali hati budi.
“Insya-Allah, saya pasti tidak akan sorok hari bahagia dari pihak media dan peminat yang banyak menyokong karier saya selama ini apabila sampai masanya nanti,” katanya merancang membeli rumah sendiri sebelum fikir soal kahwin.
PROFIL:
NAMA PENUH: Farawahida Razali
TARIKH LAHIR: 19 Mac 1985
TEMPAT LAHIR: Taiping, Perak
KERJAYA: Penyanyi
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak keempat daripada enam beradik
PENCAPAIAN: Artis Baru Wanita Popular - Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 dan Juara Etnik Kreatif AJL23 menerusi lagu Persoalan Cinta
ALBUM: Farawahida, Tanpamu, Semuanya Ada Di Sini dan Farawahida 2009
kedit to MyMetro
Hello world!
2 years ago
0 comments:
Post a Comment