CARI...unit anjing pengesan digunakan dalam operasi mencari mayat mangsa bunuh warga Korea Selatan. Gambar kecil, Kim Chong Yong. |
Misteri kehilangan seorang ahli perniagaan warga Korea Selatan yang dilaporkan hilang sejak 30 Oktober lalu belum terjawab, namun polis kini mendapat petunjuk baru dan tidak menolak kemungkinan wujud unsur jenayah termasuk mangsa dibunuh serta mayatnya dicampak dalam gaung sekitar Jalan Gombak - Bentong, di sini.
Mangsa, Kim Chong Yong, 53, yang juga Presiden Majlis Sukan Korea Selatan di Malaysia, dilihat kali terakhir bersama seorang lelaki di sebuah bar sekitar Desa Sri Hartamas, dekat sini, dan menurut anak perempuannya, mangsa ada membuat panggilan pada hari dia dilaporkan hilang untuk bertanyakan keselamatan semua ahli keluarga.
Berdasarkan petunjuk baru itu, polis menjalankan gerakan mencari di lokasi mangsa dipercayai dibuang bermula dari Batu 14 hingga Batu 25, Jalan Gombak-Bentong berhampiran Kampung Sungai Rumput, di sini kira-kira jam 7.30 pagi hingga lewat petang semalam.
Sumber polis berkata, ahli perniagaan yang sudah lebih 20 tahun menetap di negara ini dipercayai menjadi mangsa bunuh kenalan senegaranya dan hasil siasatan terhadap isyarat telefon bimbit suspek pada tarikh mangsa dilaporkan hilang, polis mengesan lelaki terbabit pernah berada di lokasi pencarian dilakukan. “Kita mula melakukan tinjauan di sekitar kawasan gaung ini semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) operasi mencari dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta dibantu Unit Komando 69 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dan Unit Anjing Pengesan (K9).
“Operasi mencari juga disertai seorang wakil Kedutaan Besar Korea Selatan di Malaysia, namun hingga lewat petang, mangsa gagal ditemui dan operasi turut terganggu ekoran hujan lebat serta keadaan cuaca gelap,” katanya.
Awal bulan lalu, media melaporkan keluarga Kim merayu orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangannya supaya tampil membantu dan pelbagai usaha mencari mangsa termasuk menyebar gambar serta risalah turut dilakukan.
-Mymetro
0 comments:
Post a Comment