KUALA LUMPUR 14 Nov. - Semua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu mempunyai sistem akreditasi yang mampu menarik minat orang ramai yang sudah bekerja untuk menyambung pelajaran bagi menjayakan program pembelajaran sepanjang hayat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini hanya Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang telah mengorak langkah mengadakan kerangka akreditasi sendiri dengan mengambil kira pengalaman seseorang bagi mengikuti kursus yang ditawarkan.
Menurut beliau, inisiatif seperti itu sebenarnya sudah lama dilaksanakan di negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, United Kingdom (UK) serta Kanada yang dipercayai dapat merapatkan jurang perbezaan modal insan antara Malaysia dengan negara maju.
"Ini merupakan inisiatif yang dapat menggalak orang dewasa untuk terus belajar bagi tujuan peningkatan ilmu dan kemahiran dalam bidang kerja masing-masing," katanya semasa merasmi pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Peringkat Nasional di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Presiden serta Naib Canselor OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.
Mengulas lanjut mengenai Pelan Induk PSH, Muhyiddin berkata, penyertaan awam terhadap program itu dijangka meningkat daripada 10 peratus kepada 50 peratus bagi golongan penduduk berusia 15 tahun ke atas menjelang 2020.
Bagaimanapun jelas Timbalan Perdana Menteri, kejayaan program tersebut turut bergantung kepada akreditasi serta pengiktirafan yang diterima pada masa ini.
Sehubungan itu katanya, Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MVLK) berperanan menyelaras penilaian berdasarkan pencapaian.
Dalam perkembangan yang sama, Muhyiddin memberitahu, Malaysia memerlukan satu pelan komprehensif serta menyeluruh dengan penglibatan semua pihak bagi menjayakan hasrat kerajaan melahirkan generasi modal insan bertaraf dunia.
Tambah beliau, kerajaan meletakkan pembangunan modal insan yang kreatif serta inovatif sebagai satu agenda nasional dan untuk memastikan agenda tersebut mencapai kejayaan, ia menuntut kerjasama menyeluruh setiap peringkat umur rakyat Malaysia.
"Pelan induk ini akan memperkasa mekanisme yang telah digaris dan mempertingkatkan lagi kesedaran awam untuk menyertai pembelajaran sepanjang hayat. Malah di peringkat kerajaan sendiri, kita telah menyediakan dana bagi menyokong usaha tersebut," katanya.
-utusan
0 comments:
Post a Comment