KUMPULAN 3G DI MAHARAJA LAWAK MEGA
3G berharap peminat terhibur dengan persembahan mereka. |
BERHADAPAN dengan 16 lagi kumpulan yang bertanding bagi merebut gelaran juara Maharaja Lawak Mega (MLM) bukanlah sesuatu yang mudah.
Pun begitu, bagi pasukan yang terdiri daripada dua kuntum bunga dan seekor kumbang ini, keserasian merupakan senjata utama untuk meneruskan langkah. Kalau boleh, sehingga ke peringkat akhir.
Menamakan kumpulan mereka sebagai 3G, Yassin Yahya, Enot dan Didie Alias membuka langkah persembahan pertama mereka dalam MLM Jumaat lalu, dengan penuh keyakinan.
Telatah bersahaja dan ekspresi muka Yassin sudah cukup untuk mengundang penonton tidak kering gusi.
Ini kerana trademark wajah yang selamba milik Yassin merupakan bahan gelak penonton di rumah dan di Royal Theater Selangor di Shah Alam yang mengikuti MLM secara langsung di Astro Warna.
Tidak cukup dengan penampilan Yassin, kebecokan mulut Didie dan Enot turut membuatkan keadaan bertambah bingit apabila ketiga-tiga mereka beraksi di pentas MLM.
Ternyata, ungkapan serasi yang diucapkan oleh mereka dalam persembahan pada malam itu, bukanlah sesuatu yang dibuat-buat tetapi ia benar-benar dapat dirasai oleh penonton.
Bagi Yassin, apa yang dipersembahkan oleh 3G pada malam itu adalah hasil perbincangan dan persetujuan yang dicapai sesama sendiri.
Mendengarkan kata-kata yang terpacul daripada mulut Yassin, Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohammad @ Ali mengangguk-anggukan kepalanya tanda bersetuju dengan pendapat Yassin.
“Jadi, dengan masa yang sangat terhad, kami gunakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan apa yang dirancang untuk dipersembahkan kepada penonton, berjalan lancar,” kata Didie bersungguh.
Bagi Alliza Abdullah atau lebih dikenali sebagai Enot, masa yang diberikan oleh penganjur (tiga minit 30 saat) untuk persembahan merupakan satu cabaran.
Jelasnya, dalam tempoh sesingkat itu, ketiga-tiga ahli 3G perlu menonjolkan diri masing-masing sambil mengekalkan elemen lucu.
3G dengan rendah dirinya memberitahu Hits, mereka tidak meletakkan harapan yang menggunung tinggi untuk bergelar juara MLM sebaliknya lebih senang hadir sebagai peserta berkumpulan yang mampu menggeletek hati penonton.
Memulakan langkah sebagai anak seni selepas menyertai pertandingan realiti televisyen Sinaran Passport Kegemilangan pada tahun 1997, nama Yassin lebih sinonim dengan kumpulan lawak nombor satu negara, Senario.
Bertahan hampir 10 tahun di bawah payung Senario, zaman kegemilangan Yassin dilihat berakhir apabila dirinya terpalit dengan gejala negatif.
Agak lama juga, pelakon filem Aku Kaya The Movie (2003) ini berdiam diri namun hari ini, Yassin bangkit di atas pentas MLM bersama kumpulan 3G.
“Saya bersyukur kerana MLM adalah platform untuk saya beraksi bersama Didie dan Enot menghiburkan penonton.
“Terus terang saya katakan di sini bahawa inilah kali pertama kami bergandingan. Oleh itu, kualiti persembahan harus dipertingkatkan dari minggu ke minggu.
“Saya amat berharap peminat dan juga penonton di rumah terhibur dengan persembahan kami dan ingin menyaksikan aksi 3G pada minggu kedua dan seterusnya,” kata Yassin yang juga muncul sebagai side kick kepada Apek dalam filem Duyung (2008).
Yassin mengakui tidak mahu bersikap hipokrit dengan mengatakan kumpulan 3G tidak mensasar salah satu tempat di peringkat akhir.
Katanya, walaupun MLM baru sahaja bermula namun mereka berpandangan jauh.
Katanya, jika 3G dapat mengekalkan momentum persembahan dan muncul pada setiap minggu, itu merupakan satu bonus bagi kumpulan mereka.
Didie bijak bahagi masa
Walaupun baru sahaja pulang dari Korea kerana terbabit dengan rancangan travelog yang dikendalikan oleh Awal Ashaari dan juga Scha Alyahya, Didie bijak mengatur jadual seninya dan mencuri masa untuk menyertai MLM.
Bagi Didie yang terkenal sebagai artis wanita yang kuat bekerja, setiap peluang dan ruang yang datang akan digunakan sebaiknya kerana bidang seni merupakan punca pendapatan beliau selama ini.
Biarpun tidak pernah mengeluh penat namun dia mengakui, perlu pandai mengatur masa agar tidak terlalu terkejar-kejar.
Kata Didie, rezeki pemberian Tuhan kepadanya dan keluarga tidak akan disia-siakan.
“Saya sebenarnya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie Biar Mimpi Sampai ke Bintang.
“Dalam pada itu, saya juga terlibat dengan penggambaran drama bersiri, Peah Gossip bersama Fasha Sandha.
“Memanglah kalau diikutkan terasa penat tetapi saya suka dengan apa yang saya lakukan sekarang ini. Ia sudah menjadi darah daging saya,” katanya ketika ditemui selepas siaran langsung MLM selesai.
Kata Didie, tumpuannya kini lebih kepada 3G kerana menyedari, saingan daripada peserta-peserta lain tidak kurang hebatnya.
Justeru, katanya, 3G memerlukan momentum terbaik kerana selain mahu menghiburkan peminat, biarlah persembahan 3G mendapat tempat di hati penonton dan para juri.
MLM dunia Enot
Seluruh tenaga dan minda Enot difokuskan kepada 3G walaupun dalam masa yang sama, pelakon comel ini menjalankan perniagaan keknya.
Kata Enot, apabila dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon sekarang ini, masanya memang sesuai untuk tumpuan sepenuh masa kepada 3G.
“Menyertai MLM bersama Didie dan Yassin adalah suatu langkah yang tidak pernah terlintas di fikiran saya.
“Apatah lagi beraksi dan bersaing dengan 16 peserta termasuk dari negara-negara jiran kita.
“Maka itulah, bagi saya mahupun dua lagi rakan dalam 3G, kami akan cuba untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya yang belum merasa puas menghiburkan penonton MLM.
Kata Enot, walaupun kehadiran 3G dalam MLM sebagai peserta underdog namun mereka serius dalam memberikan persembahan pada minggu hadapan.
Kata Enot, apabila dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon sekarang ini, masanya memang sesuai untuk tumpuan sepenuh masa kepada 3G.
“Menyertai MLM bersama Didie dan Yassin adalah suatu langkah yang tidak pernah terlintas di fikiran saya.
“Apatah lagi beraksi dan bersaing dengan 16 peserta termasuk dari negara-negara jiran kita.
“Maka itulah, bagi saya mahupun dua lagi rakan dalam 3G, kami akan cuba untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya yang belum merasa puas menghiburkan penonton MLM.
Kata Enot, walaupun kehadiran 3G dalam MLM sebagai peserta underdog namun mereka serius dalam memberikan persembahan pada minggu hadapan.
“3G akan mencari idea yang lebih bernas dengan lawak yang lebih bersahaja untuk penonton. Apabila penonton ketawa, itulah kejayaan bagi kami,” katanya.
-UTUSAN
0 comments:
Post a Comment