KEDUA-dua mempelai mengalirkan air mata tatkala Norman Hakimmembaca lafaz takliq selepas selamat diijabkabulkan denganMemey Shuhaiza dalam satu majlis yang sederhana, di kediaman pengantin perempuan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Johor, Sabtu lalu.
Baik Norman , 35, mahupun Memey , 23, titisan air jernih tersebut bukan simbol resah jiwa dek lara yang sering singgah dalam kehidupan mereka sebelum bergelar pasangan suami isteri yang sah.
Namun, ia adalah tanda gembira dan kesyukuran yang tidak terucap melalui kata-kata
apabila kasih dan janji yang di pateri sudah termeterai dengan ikatan suci sebagaimana yang diimpikan selama ini.
Masakan tidak, dengan sekali lafaz sahaja, Norman atau Muhammad Norhakim Zaidon sah bergelar suami kepada pemilik namaSuhaiza Suhaimi, puteri ketiga pasangan Suhaimi Sarwani dan Norlela Abdul Rahman.
Malah detik bersejarah pasangan pengantin baru itu turut diraikan bersama dua cahayamata Norman hasil perkahwinan pertamanya dahulu dengan Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 8, dan Marissa Dania Hakim, 6.
Mengimbau rentetan majlis pernikahan pasangan kontroversi itu, kehadiran Norman diiringi keluarga terdekat di kediaman orang tua Memey pada Sabtu, 24 September lalu kira-kira pukul 4.40 petang disambut meriah keluarga mertuanya.
Nyata Norman kelihatan tenang menunggu saat dia menggenggam tangan juru nikah Mukim Kambau, Zulkipli Tarmizi dengan mas kahwin, RM22.50 dalam satu majlis yang penuh bermakna.
Sebaik sahaja lafaz nikah diucapkan dengan jelas oleh Norman, dari raut wajah Memey, dia nampak lega dan gembira untuk melayari bahtera rumah tangga dengan lelaki yang dicintainya.
Pada majlis yang sama, keluarga masing-masing bertukar-tukar dulang hantaran. Norman memberi lima dulang berupa set barangan kemas iaitu cincin dan rantai, Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), kek buah yang dibentuk menjadi beg tangan Gucci, sirih junjung serta senaskah al-Quran.
Pemberian Norman dibalas tujuh oleh Memey iaitu sebuah iPad2, cincin berlian, coklat, buah-buahan, kek lapis Sarawak dan senaskah al-Quran.
Pasangan itu sebelum dinikahkan, telah mengikat tali pertunangan pada 13 September tahun lepas dan pada majlis pernikahan, Memey turut menerima wang hantaran sebanyak RM24,000 daripada suaminya.
Sebagai tanda kasih Norman terhadap isteri yang baru dinikahinya itu, untuk upacara membatalkan air sembahyang, dia mengalungkan seutas rantai ke leher jinjang Memey.
Tidak lengkap adat perkahwinan di Johor sekiranya isteri tidak menuturkan ikrar taat setia kepada suaminya.
Dengan busana sedondon berwarna coklat hasil sentuhan Ezuwan Ismail, kedua-dua mempelai bukan sahaja sebak malah menitiskan air mata saat Memey membaca lafaz ikrarnya itu dengan penuh emosi.
0 comments:
Post a Comment